Ahmad Fadhli Sarankan Amirudin Bercuti, Dakwa Gagal Tepis Isu Ekskavator
Beliau turut menyarankan agar Amirudin menyerahkan urusan kenyataan lanjut kepada pihak berkuasa dan teknikal yang lebih berautoriti dalam hal sebegini, termasuk polis dan agensi berkaitan. Katanya, kenyataan profesional lebih dihormati berbanding reaksi politik.
POLITIK


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk bercuti seketika, susulan kenyataan balas Amirudin yang menurutnya gagal menjawab isu sebenar berkenaan tragedi letupan gas di Putra Heights.
Menurut Ahmad Fadhli, kenyataan Amirudin yang menyerang PAS hanyalah cubaan mengalihkan perhatian daripada persoalan utama – iaitu berkenaan keberadaan jentera ekskavator berhampiran lokasi kejadian yang sebelum ini dinafikan.
Beliau turut menyarankan agar Amirudin menyerahkan urusan kenyataan lanjut kepada pihak berkuasa dan teknikal yang lebih berautoriti dalam hal sebegini, termasuk polis dan agensi berkaitan. Katanya, kenyataan profesional lebih dihormati berbanding reaksi politik.
Gesaan itu turut disertakan dengan tangkap layar perbualan di media sosial antara Amirudin dan Ketua Eksekutif Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor. Dalam hantaran tersebut, Azri memaklumkan bahawa ekskavator memang berada di lokasi sebelum kejadian tetapi tenggelam akibat letupan besar.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kerja-kerja penggalian dilakukan 30 meter dari tapak letupan. Ekskavator yang digunakan dalam kerja tersebut disahkan tenggelam ke dalam tanah selepas letupan kuat berlaku.
Ahmad Fadhli turut membidas sikap Amirudin yang menurutnya enggan mengakui pandangan saksi penduduk setempat yang mendakwa jentera terbabit memang ada di situ sejak awal. Beliau menasihatkan Menteri Besar agar bertenang dan bersikap terbuka dalam menghadapi tekanan politik dan bencana.
Tragedi letupan paip gas itu mengakibatkan kebakaran besar dengan api setinggi puluhan meter dan suhu ekstrem, memusnahkan rumah-rumah dalam lingkungan 500 meter dari lokasi kejadian. Sehingga kini, ratusan keluarga telah terjejas dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara.