AMANAH Mahu Dasar Anti-Buli Diperkasa, Sambut Baik Ketegasan MARA
Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik pendirian tegas Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak berkompromi terhadap budaya buli di institusi pendidikan, susulan kejadian buli membabitkan pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini.
POLITIK

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, YB Haji Azli Yusof berkata, ketegasan seperti ini amat penting untuk menunjukkan bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar adalah keutamaan mutlak, selain menjadi mesej jelas kepada seluruh warga sekolah bahawa buli tidak boleh ditoleransi.
“Budaya buli – sama ada fizikal, emosi atau psikologi – adalah bentuk keganasan yang memberi kesan trauma mendalam kepada mangsa. Ia perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan hanya reaksi sementara setiap kali isu ini tular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa siasatan telus dan tindakan tegas diambil bukan sahaja terhadap pelaku, tetapi juga terhadap mana-mana pihak pentadbiran sekolah yang cuai dalam mengurus keselamatan pelajar. Tindakan terhadap pembuli pula harus bersifat mendidik dan memulihkan, bukan semata-mata menghukum.
AMANAH turut mencadangkan pelaksanaan Dasar Anti-Buli yang menyeluruh di semua sekolah, termasuk mekanisme aduan yang mesra pelajar dan ibu bapa, latihan kepada warga sekolah serta penglibatan aktif masyarakat dalam membentuk ekosistem pendidikan yang selamat dan beretika.