Azri Abdullah Pertikai Dakwaan Kerajaan Beri Tanah kepada Kuil
Ahmad Azri Abdullah, menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah memberikan tanah kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliaman, seperti yang tersebar di media sosial
POLITIK


Kuala Lumpur, 26 Mac 2025 — Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional, Ahmad Azri Abdullah, menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah memberikan tanah kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliaman, seperti yang tersebar di media sosial. Beliau menegaskan bahawa keputusan kerajaan hanya melibatkan penempatan semula kuil tersebut ke tapak baharu dan bukannya pemberian hak milik tanah.
Menurut Azri, Menteri Wilayah hanya mengumumkan bahawa kuil tersebut akan ditempatkan semula dan bukan diberikan tanah secara percuma. Beliau juga memetik kenyataan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, yang menyatakan bahawa tapak baharu tersebut akan diwartakan sebagai kawasan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), yang masih berada di bawah pemilikan kerajaan.
“Jika tanah diwartakan, itu bukan bermakna kerajaan memberikan tanah. Ia sama seperti pewartaan tapak masjid, sekolah, atau hospital. Pemilik tanah tetap kerajaan, bukan individu atau organisasi tertentu,” tegasnya. Justeru, isu penilaian tanah yang dikatakan bernilai RM10 juta tidak sepatutnya timbul kerana status pemilikan masih kekal di bawah kerajaan.
Azri turut mengingatkan bahawa rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan perlu diuruskan dengan lebih awal bagi mengelakkan perintah pengosongan. Beliau menasihati penganut agama lain untuk lebih proaktif dalam mendapatkan tapak RIBI secara sah, sama ada melalui pembelian, penyewaan, atau permohonan kepada pihak berkuasa.
Dalam respons terhadap kenyataan aktivis Firdaus Wong, Azri menegaskan bahawa perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama. Katanya, kepatuhan kepada undang-undang dalam isu rumah ibadat bukan hanya terletak di bahu kerajaan, tetapi juga memerlukan sikap bertanggungjawab daripada semua pihak.