Chegubard Dakwa Zamri Vinoth Dibebaskan Akibat ‘Tekanan Luar Biasa’
Menurutnya, meskipun polis telah memperoleh perintah reman selama dua hari, Zamri dibebaskan sebelum solat Jumaat hari ini. Beliau turut mendedahkan bahawa sembilan peguam hadir secara pro bono bagi membela Zamri semasa permohonan reman di mahkamah.


Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mendakwa pendakwah bebas Zamri Vinoth dibebaskan kurang daripada 24 jam selepas ditahan akibat “tekanan luar biasa” daripada orang ramai.
Menurutnya, meskipun polis telah memperoleh perintah reman selama dua hari, Zamri dibebaskan sebelum solat Jumaat hari ini. Beliau turut mendedahkan bahawa sembilan peguam hadir secara pro bono bagi membela Zamri semasa permohonan reman di mahkamah.
Zamri, 41, ditahan di Kangar, Perlis, di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung hantaran Facebooknya mengenai pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, sebelum ini mengesahkan bahawa majistret telah mengeluarkan perintah reman terhadap Zamri pada jam 9.30 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina agama dan mengganggu ketenteraman awam.
Kontroversi mengenai pemindahan kuil tersebut tercetus apabila ia dikaitkan dengan projek pembinaan sebuah masjid di tapak milik syarikat Jakel. Bagaimanapun, jawatankuasa kuil telah mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memindahkan kuil tersebut ke lokasi baharu, kira-kira 50 meter dari tapak asal.