Dakwaan Langgar lari Ibu Hamil di Terowong Manora - Polis Buka Kertas Siasatan
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik kenderaan terlibat. Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial di mana ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai untuk mengesan pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
NEGARA
IPOH - Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bahawa mangsa kemalangan tragis di Terowong Menora pada Ahad lalu menjadi mangsa langgar lari. Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk usaha mengesan pemilik kenderaan yang terlibat. "Ya, kita sedang lengkapkan siasatan kes itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial di mana ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai untuk mengesan pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Kemalangan itu mengorbankan seorang wanita hamil dan anak perempuannya berusia dua tahun. Hantaran itu memaklumkan bahawa insiden tersebut melibatkan beberapa kenderaan, dengan salah satunya terus meninggalkan tempat kejadian tanpa memberikan bantuan.
Individu yang dipercayai adik kepada mangsa turut menyatakan bahawa berdasarkan rakaman kamera papan pemuka, kenderaan yang terlibat meneruskan perjalanan tanpa berhenti walaupun mangsa tercampak di tengah jalan. "Kalau tak sengaja sekali pun, sekurang-kurangnya berhentilah tepi atau bantu. Ini jalan terus dan lari, betul-betul tiada perasaan sebagai seorang manusia," katanya. Mereka juga meminta bantuan pihak lebuh raya dan orang awam untuk mendapatkan maklumat mengenai dua atau tiga kenderaan yang terlibat.
Kejadian malang itu berlaku sekitar jam 6.45 petang, apabila Naira Falisha Abdul Rahman, 2, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Bezza yang dipandu bapanya. Kereta tersebut terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora. Sementara itu, ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi pada Isnin ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Hantaran tersebut juga menyebut bahawa suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, yang mengalami kecederaan parah, turut menyaksikan kejadian tersebut. Beliau berusaha merangkak keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan isteri dan anaknya. "Kini beliau telah selamat menjalani operasi pembedahan dan masih dalam keadaan trauma," kata hantaran itu. Kedua-dua mangsa dan bayi dalam kandungan telah selamat dikebumikan pada Isnin.