Faiz Fadzil Desak Wan Fayhsal Mohon Maaf Isu Tragedi Putra Height

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kenyataan Wan Fayhsal bertarikh 4 April 2025 yang menyebut insiden itu telah meragut nyawa adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan rakyat. Tegasnya, pihak berkuasa setakat ini tidak melaporkan sebarang kematian dalam tragedi tersebut.

NEGARA

Marina Ahmad

4/6/20251 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengecam keras tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal yang didakwa memanipulasi tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights demi kepentingan politik.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kenyataan Wan Fayhsal bertarikh 4 April 2025 yang menyebut insiden itu telah meragut nyawa adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan rakyat. Tegasnya, pihak berkuasa setakat ini tidak melaporkan sebarang kematian dalam tragedi tersebut.

“Beliau bukan sahaja menyebarkan maklumat palsu, malah menuduh bantuan RM5,000 yang diberikan kerajaan sebagai satu penghinaan, seolah-olah menggambarkan kerajaan hanya memberi bantuan itu semata-mata,” kata Faiz.

Beliau turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pada 1 April bahawa kerajaan akan membina semula rumah-rumah yang rosak atau musnah akibat insiden berkenaan, dan bantuan RM5,000 itu hanyalah bantuan segera. Tambahnya lagi, kerajaan juga sedang meneliti langkah tambahan untuk memudahkan kehidupan mangsa kembali pulih.

Menurut Faiz, AMANAH telah menggerakkan jenteranya untuk membantu mangsa dan Presiden parti, Mohamad Sabu sendiri telah turun padang melawat lokasi kejadian serta menyantuni para mangsa.

Sehubungan itu, AMANAH menuntut Wan Fayhsal menarik balik kenyataan media yang dikeluarkan serta membuat permohonan maaf terbuka kepada para mangsa serta Kerajaan MADANI atas tuduhan yang dianggap berniat jahat.

Faiz turut mengingatkan agar Wan Fayhsal tidak memperkudakan tragedi demi agenda politik sempit. “Rakyat tanpa mengira latar belakang seharusnya bersatu membantu mangsa, bukan mengeksploitasi penderitaan mereka untuk keuntungan politik,” katanya.

Berkaitan...