Gempa Bumi Myanmar - Pasukan SMART NADMA fokus misi di Sagaing

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan tersebut telah dimulakan di tiga lokasi di daerah berkenaan, iaitu Masjid Moe Gya, Masjid Nyoo Ma dan Sekolah Swasta Nyat, dengan penduduk tempatan menganggarkan terdapat 20 mangsa yang masih terperangkap.

LUAR NEGARA

Ibnu Ahmad

3/31/20251 min read

Jumaat lepas (28 Mac), gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar. Pasukan Khas Bantuan Bencana Malaysia (SMART) memberi tumpuan kepada usaha mencari mangsa yang terperangkap di rumah ibadat yang terjejas akibat bencana gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar.

Dalam satu kenyataan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan tersebut telah dimulakan di tiga lokasi di daerah berkenaan, iaitu Masjid Moe Gya, Masjid Nyoo Ma dan Sekolah Swasta Nyat, dengan penduduk tempatan menganggarkan terdapat 20 mangsa yang masih terperangkap.

"Pasukan MAS-01 (Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia) memberi tumpuan kepada kemudahan kritikal seperti masjid, kuil, sekolah dan hospital," katanya.

Isnin (31 Mac) merupakan hari kedua pasukan MAS-01 melaksanakan misi kemanusiaan dan membantu dalam operasi SAR , selepas mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw pada petang semalam (waktu Myanmar). Pasukan yang terdiri daripada 50 anggota memulakan perjalanan darat sejauh 270km yang mengambil masa 24 jam, melalui 10 sekatan keselamatan sebelum tiba di kawasan Sagaing pada jam 4 pagi (waktu Myanmar) dan menubuhkan Pangkalan Operasi (BoO) di Padang Bola Sagaing Anniversary.

Kenyataan itu menyebut bahawa operasi SMART di negara tersebut berhadapan dengan masalah keselamatan, termasuk laporan mengenai kawasan konflik yang masih dibom oleh tentera Myanmar serta risiko kawasan darat di sekitar Sagaing, terutamanya berhampiran kuil-kuil.

"Gempa susulan masih berlaku dengan magnitud antara 3 hingga 5.1, yang menambah risiko runtuhan bangunan yang tidak stabil, membahayakan pasukan MAS-01," menurut kenyataan itu.

Nadma berkata pasukan SMART juga berdepan dengan masalah logistik seperti bekalan bahan api untuk kenderaan dan peralatan seperti jenerator, namun Malawakil (misi Malaysia di luar negara) telah membantu mengenal pasti stesen minyak yang dapat membekalkan bahan api kepada MAS-01.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa ramalan cuaca panas dengan suhu antara 38°C hingga 41°C menyukarkan misi bantuan kemanusiaan dan operasi SAR, terutamanya pada waktu tengah hari.

"Tempoh bencana telah melepasi 72 jam yang kritikal. Berdasarkan runtuhan dan keadaan persekitaran, kemungkinan untuk mencari dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan semakin berkurangan.

Berkaitan...