Kebakaran Puchong : dari Saluran Paip Utama PGB - Petronas
Abbas Azmi, mengesahkan bahawa beliau menerima laporan awal yang menyatakan lebih daripada 10 mangsa mengalami kecederaan parah akibat kebakaran yang berlaku pada pagi tadi. Kebakaran tersebut dikatakan telah berlaku berhampiran kawasan Putra Height.
NEGARA


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi, mengesahkan bahawa beliau menerima laporan awal yang menyatakan lebih daripada 10 mangsa mengalami kecederaan parah akibat kebakaran yang berlaku pada pagi tadi. Kebakaran tersebut dikatakan telah berlaku berhampiran kawasan Putra Height, namun ramai penduduk di kawasan sekitar seperti Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru turut terkesan.
Abbas Azmi juga menyatakan bahawa kebakaran itu telah memberi kesan yang besar kepada penduduk kawasan tersebut. Beliau dalam pada itu mendoakan agar tiada nyawa terkorban akibat kejadian yang berlaku pada hari kedua Syawal tersebut. Harapan beliau adalah supaya semua mangsa yang terlibat dapat diberi bantuan yang sewajarnya.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran berlaku pada saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada pukul 8.10 pagi ini. Menurut kenyataan mereka, saluran paip yang terjejas telah dipisahkan dan semua pihak berkepentingan yang terlibat telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Dalam kenyataan yang berasingan, Petronas turut menjelaskan bahawa tiga stesen minyak berdekatan, iaitu PS Putra Heights, PS KM2 LDP, dan PS Putra Bestari tidak terjejas oleh kebakaran tersebut. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, stesen-stesen tersebut telah ditutup sementara waktu. Pelanggan disarankan untuk menggunakan alternatif lain seperti PS USJ 20, USJ 6, dan USJ 9 untuk mengisi minyak kenderaan mereka.
Petronas juga memberi jaminan bahawa keselamatan komuniti sekitar, kelestarian alam sekitar, dan bekalan gas kepada negara akan terus menjadi keutamaan mereka. Syarikat tersebut sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menangani keadaan ini, dan mereka akan menyediakan maklumat lanjut kepada orang ramai sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.