Kerajaan Nafi Beri Pampasan RM2 Juta Kepada Kuil Sri Pathrakaliamman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menegaskan bahawa tuduhan itu tidak berasas dan sama sekali tidak benar

NEGARA

Marina Ahmad

3/27/20251 min read

Putrajaya, 27 Mac 2025 – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa pampasan sebanyak RM2 juta telah diberikan kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dalam isu perpindahan rumah ibadat tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menegaskan bahawa tuduhan itu tidak berasas dan sama sekali tidak benar.

Menurut beliau, kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil berkenaan. Tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah diumumkan sebelum ini. Penjelasan ini dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial, khususnya melalui hantaran oleh aktivis Firdaus Wong Wai Hung.

Datuk Seri Dr. Zaliha turut menjelaskan bahawa keputusan dalam kes ini dicapai menerusi perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat, dengan pendekatan ‘menang-menang’. Pembinaan masjid yang tertangguh sejak 2020 di atas tanah milik swasta akan diteruskan, manakala pihak kuil bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.

Beliau turut menegaskan bahawa kes ini tidak boleh dijadikan rujukan atau ‘precedent case’ bagi kes-kes lain yang melibatkan rumah ibadat pada masa akan datang. Penyelesaian ini dibuat secara khusus, mengikut lunas undang-undang dan dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah serta tidak membangkitkan isu perkauman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Beliau menekankan kepentingan untuk mengelakkan sentimen agama daripada dieksploitasi secara tidak bertanggungjawab.

Berkaitan...