Kontroversi Lagu Negeri - Ratu Naga Salahkan Penyokong Kerajaan
Dalam usaha mempertahankan dirinya daripada kecaman awam, aktivis kontroversi Ratu Naga kini tampil dengan alasan bahawa beliau bukan individu yang memviralkan video tular lagu rasmi negeri Perak yang didakwa dinyanyikan dalam bahasa Mandarin oleh sekumpulan murid sekolah. Namun, cubaan “cuci tangan” itu dianggap ramai sebagai langkah melepaskan diri daripada tanggungjawab atas tindakan yang jelas menyalakan api perkauman.
NEGARA


Dalam usaha mempertahankan dirinya daripada kecaman awam, aktivis kontroversi Ratu Naga kini tampil dengan alasan bahawa beliau bukan individu yang memviralkan video tular lagu rasmi negeri Perak yang didakwa dinyanyikan dalam bahasa Mandarin oleh sekumpulan murid sekolah. Namun, cubaan “cuci tangan” itu dianggap ramai sebagai langkah melepaskan diri daripada tanggungjawab atas tindakannya.
Dalam kenyataan terbarunya, Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah, memohon maaf kerana “tersalah dengar” — satu alasan yang dianggap longgar, lebih-lebih lagi apabila beliau mengakui sendiri telah memuat naik video tersebut sebelum memadamkannya kurang 10 minit kemudian. Soalnya, mengapa perlu muat naik video yang belum sahih kandungannya, jika benar niat asalnya bukan untuk membakar sentimen?
Lebih memburukkan keadaan, beliau menyalahkan pula “cybertrooper Kerajaan Madani” yang dikatakan memuat turun dan menyebarkan video tersebut selepas ia dipadam, kononnya merekalah punca ia tular. Namun, rakyat Malaysia bukan mudah lupa. Tindakan awal Ratu Naga — seorang pempengaruh politik yang sudah dikenali dengan naratif provokatif — cukup untuk mencetuskan gelombang salah faham, kebencian dan retorik kaum yang tidak diingini.
Beliau turut menafikan pernah menyebut lagu negeri Perak dalam videonya, namun siasatan awam dan reaksi netizen menunjukkan naratif yang dibina melalui posting beliau cukup untuk mengelirukan dan membakar sentimen sensitif rakyat, khususnya dalam konteks perpaduan kaum.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kes berkenaan selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam.