Krisis Perang Saudara : Rakyat Malaysia diminta tinggalkan Sudan Selatan

Wisma Putra mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa langkah ini diambil berikutan peningkatan risiko keselamatan yang semakin meruncing di negara tersebut.

LUAR NEGARA

Rosli Dhobi

3/28/20251 min read

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia di Sudan Selatan diminta untuk segera membuat persiapan meninggalkan negara itu sementara penerbangan komersial masih beroperasi. Wisma Putra mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa langkah ini diambil berikutan peningkatan risiko keselamatan yang semakin meruncing di negara tersebut.

"Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya sedang memantau situasi keselamatan di Sudan Selatan berikutan perkembangan terkini yang telah menjejaskan tahap keselamatan di negara tersebut," katanya

KLN melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Sudan Selatan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan keselamatan 18 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat di bawah United Nations Police (UNPOL). Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Selain itu, sebelum ini KLN juga menggesa 55 rakyat Malaysia untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau pulang ke Malaysia secara sukarela berikutan konflik bersenjata yang semakin meruncing di negara tersebut.

Wisma Putra turut memberi amaran bahawa keadaan keselamatan di Sudan Selatan boleh berubah dengan cepat, dan rakyat Malaysia diminta untuk terus memantau perkembangan situasi serta mengikuti nasihat pihak berkuasa.

Sudan Selatan, yang meraih kemerdekaan pada 2011, kini menghadapi ancaman perang saudara akibat ketegangan antara pengikut Naib Presiden Pertama, Riek Machar, dan Presiden Salva Kiir. Penahanan Machar pada Rabu lalu dilaporkan telah menggugat perjanjian damai yang mengakhiri perang saudara antara 2013-2018.

Penahanan tersebut berlaku selepas menteri pertahanan dan ketua keselamatan negara menyerbu kediaman Machar di Juba, menyerahkan waran tangkap, dan menahannya bersama isterinya serta dua pengawal peribadi. Tindakan ini menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa ia boleh meruntuhkan proses damai dan menyebabkan Sudan Selatan kembali ke perang saudara.

Berkaitan...