Lima Maut: Tayar treler pecah bergesel, langgar tiga kenderaan

Tayar hadapan kanan pecah, menyebabkan treler hilang kawalan dan bergesel dengan kereta Toyota Camry yang berada di laluan yang sama.

NEGARA

Rahman Talib

3/28/20251 min read

Kluang, 28 Mac 2025 - Kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada malam Khamis, dipercayai akibat tayar hadapan kanan treler yang pecah. Kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam dan mengakibatkan lima kematian, termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata treler jenis Volvo itu dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan kanan pecah, menyebabkan treler hilang kawalan dan bergesel dengan kereta Toyota Camry yang berada di laluan yang sama.

Treler itu kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada. Kemalangan ini juga menyebabkan kebakaran pada Honda Stepwagon Spada, namun semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pengguna jalan yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri, Nasaarudin Pardi, 36, dan Siti Khazira Bani, 35, maut, bersama anak mereka, Mariam Nasarudin, 2, yang meninggal di tempat kejadian. Tiga lagi anak mereka yang berusia sembilan, tujuh, dan empat tahun cedera parah dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Selain itu, pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang tidak memiliki lesen memandu, dan penumpang hadapan yang berusia 20-an turut maut akibat kecederaan parah. Pemandu treler tersebut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berkaitan...