Pemuda AMANAH "all out" sokong calon Kerajaan Perpaduan di PRK Ayer Kuning

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, YB Danial Al-Rashid berkata, walaupun AMANAH pernah bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum yang lalu, parti itu kini memilih untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negeri dan negara.

POLITIK

Marina Ahmad

4/10/20251 min read

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) akan turun habis-habisan memberikan sokongan penuh kepada calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Mohamad Yusri Bakir dari Barisan Nasional (BN), dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadual berlangsung pada 26 April ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, YB Danial Al-Rashid berkata, walaupun AMANAH pernah bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum yang lalu, parti itu kini memilih untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negeri dan negara.

“Keputusan ini merupakan manifestasi kepada iltizam kami untuk memperkukuh persefahaman politik dan menolak politik perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa seluruh jentera Pemuda AMANAH dari seluruh negara akan digerakkan secara berfasa bagi memperkuat kempen PRK, terutamanya dalam menyantuni anak muda di Ayer Kuning.

Program sulung mereka adalah Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Harapan yang akan berlangsung pada 11 April 2025 (Jumaat), jam 8 malam di Arena Square, Kampung Tanjung Keramat, Tapah.

Danial turut menyeru seluruh pemuda dalam Kerajaan Perpaduan – AMANAH, PKR, DAP, UMNO, UPKO serta rakan-rakan sekutu – agar hadir menyatakan solidariti serta menyuntik semangat perjuangan demi kemenangan calon bersama.

“Dalam PRK-PRK sebelum ini, termasuk di Batang Kali, Pemuda AMANAH telah membuktikan kemampuan dalam memenangi hampir semua Daerah Mengundi yang dipertanggungjawabkan. Kami yakin dengan gerak kerja terancang dan semangat berpasukan, kita mampu mencipta kejayaan di Ayer Kuning,” tegasnya.

Berkaitan...