Peniaga Berlesen Jalan TAR Pertikai Sokongan KP UMNO Kepada Penjaja Tidak Berlesen

"YB Akmal kata kesian peniaga rainbow ada anak isteri, kami pun ada anak isteri. Kami berhutang sana sini untuk berniaga di Jalan TAR, siapa nak bantu kami?"

NEGARA

Marina Ahmad

3/30/20251 min read

Seorang peniaga berlesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Ayob Abd Majid, meluahkan rasa kecewa terhadap kehadiran penjaja tanpa lesen yang didakwanya menjejaskan perniagaan sah di kawasan tersebut.

Dalam satu hantaran di media sosial, Ayob turut membangkitkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, yang sebelum ini menyuarakan simpati terhadap peniaga jalanan yang berdepan tindakan pihak berkuasa. Menurutnya, sebagai pemimpin, Akmal sepatutnya memahami nasib peniaga berlesen yang telah membayar sewa tapak dan cukai, tetapi masih berdepan persaingan tidak adil daripada penjaja tanpa lesen.

"YB Akmal kata kesian peniaga rainbow ada anak isteri, kami pun ada anak isteri. Kami berhutang sana sini untuk berniaga di Jalan TAR, siapa nak bantu kami?" tulisnya dalam hantaran tersebut.

Ayob mendakwa bahawa kebanyakan penjaja tanpa lesen ini bukan sekadar warga tempatan tetapi juga melibatkan warga asing, termasuk dari Indonesia dan Suluk. Mereka dikatakan berniaga sehingga ke hadapan pintu premis perniagaannya, menyebabkan pelanggan sukar untuk memasuki kawasan perniagaan yang sah.

"Kami berniaga secara sah, membayar sewa tapak dan lesen, tetapi masih berdepan kesukaran kerana ada peniaga lain yang bebas berniaga tanpa dikenakan tindakan. Ini tidak adil kepada kami yang patuh kepada undang-undang," katanya.

Selain itu, Ayob mendakwa bahawa ada individu yang cuba mencetuskan provokasi bagi menghalang tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

"Mereka sering kali mengambil kesempatan pada waktu sibuk, terutama menjelang waktu berbuka puasa, untuk berniaga di kawasan strategik seperti di hadapan Sogo. Ini bukan sahaja mengganggu peniaga berlesen tetapi juga menyebabkan kesesakan," tambahnya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengatasi isu ini dengan lebih berkesan agar peniaga yang patuh kepada undang-undang tidak terus terjejas akibat kehadiran penjaja tanpa lesen.

Berkaitan...