PENJAJA BELON GESA PIHAK BERKUASA BERTINDAK MENGIKUT UNDANG-UNDANG

Mengakhiri kenyataan, Za’imuddin menggesa pihak berkuasa menjaga integriti dan bertindak mengikut undang-undang. “Saya hanya mencari sesuap nasi bagi diri saya dan keluarga saya. Kami pun hendak berhari raya macam orang lain,” katanya, menyeru agar golongan kecil seperti dirinya tidak terus ditekan oleh sistem.

NEGARATOP STORIES

Marina Ahmad

4/7/20251 min read

Penjaja belon, Muhammad Za’imuddin bin Azlan, tampil membuat kenyataan media selepas video dirinya didakwa dipukul oleh pihak penguat kuasa tular di media sosial. Dalam kenyataan tersebut, beliau menegaskan bahawa dirinya hanya berniaga secara kecil-kecilan untuk mencari rezeki halal, terutama dalam suasana Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Menurut Za’imuddin, beliau terpaksa menjual belon secara sambilan kerana pekerjaan sepenuh masanya sebagai kedi golf tidak banyak memberi peluang ketika musim perayaan. Beliau mempersoalkan layanan kasar yang diterimanya, semata-mata kerana latar belakangnya yang pernah terlibat dalam kes lampau. “Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku zalim?” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut meluahkan kekesalan apabila dirinya dilayan seolah-olah tiada hak sebagai warganegara hanya kerana status ekonomi dan sejarah silamnya. Za’imuddin menegaskan bahawa beliau berhak mempertahankan diri dan maruah keluarganya. Malah, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya, termasuk kehadiran anakanda Tuanku Al-Sultan Abdullah ke hospital untuk menziarahinya.

“Bukan mudah jadi orang miskin dan susah,” ujar beliau sambil menyatakan hasratnya untuk berubah serta memohon maaf kepada ibu bapa dan ahli keluarganya atas apa yang berlaku. Beliau turut mendoakan agar mereka yang menghina dan mengecam tidak diuji dengan pengalaman sepertinya.

Mengakhiri kenyataan, Za’imuddin menggesa pihak berkuasa menjaga integriti dan bertindak mengikut undang-undang. “Saya hanya mencari sesuap nasi bagi diri saya dan keluarga saya. Kami pun hendak berhari raya macam orang lain,” katanya, menyeru agar golongan kecil seperti dirinya tidak terus ditekan oleh sistem.

Berkaitan...

Kongsikan: