Penjaja Tidak Berlesen Buat Laporan Polis Dakwa Cedera Dihimpit

Muhamad Za’imuddin Azlan, tampil membuat laporan polis pertama berhubung insiden kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) pada malam 28 Mac lalu. Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas beliau selesai menerima rawatan akibat kecederaan tulang di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 29 Mac hingga baru-baru ini.

NEGARA

Marina Ahmad

4/6/20251 min read

Penjaja Belon tidak berlesen, Muhamad Za’imuddin Azlan, tampil membuat laporan polis pertama berhubung insiden kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) pada malam 28 Mac lalu. Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas beliau selesai menerima rawatan akibat kecederaan tulang di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 29 Mac hingga baru-baru ini.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, memaklumkan bahawa sebelum ini terdapat beberapa laporan polis berhubung kejadian itu, namun tiada satu pun dibuat oleh anak guamnya sendiri. Beliau menegaskan laporan ini bukan semata-mata untuk membela nasib penjaja tersebut, tetapi sebagai mesej jelas kepada pihak penguat kuasa agar tidak menyalahgunakan kuasa.

Muhammad Rafique turut mempersoalkan motif segelintir pihak yang menyebarkan dakwaan bahawa penjaja berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah lampau. Menurutnya, rekod lalu tidak seharusnya menjadi alasan untuk melayani mana-mana individu secara zalim atau mewajarkan sebarang bentuk keganasan terhadap mereka.

Tambahnya lagi, ada pihak mendakwa kecederaan dialami Muhamad Za’imuddin hanyalah satu lakonan, namun perkara itu disangkal dengan bukti perubatan rasmi. Seorang doktor swasta, Dr Hafidz Rizal Amran, menyatakan bahawa berdasarkan laporan Hospital Sultan Idris Shah, pesakit mengalami kecederaan tulang serius pada bahagian T12 yang berisiko menyebabkan kebas, kelumpuhan dan gangguan sistem kawalan najis.

Dr Hafidz menjelaskan, penjaja itu kini memakai alat sokongan khas dan terpaksa menangguhkan pembedahan hernia yang sepatutnya dijalani pada 18 April ini kerana keadaan fizikalnya yang terjejas. Kecederaan yang dialami dinilai berada pada tahap kesakitan antara skala 8 dan 9, menyebabkan beliau diberi cuti sakit selama 48 hari.

Insiden kekecohan yang melibatkan penjaja tidak berlesen di Jalan TAR sebelum ini mendapat perhatian meluas di media sosial, terutama selepas video yang menunjukkan tindakan keras oleh pihak berkuasa tular. Kes ini terus mencetuskan perdebatan mengenai hak penjaja kecil dan batas kuasa penguat kuasa dalam mengendalikan situasi di tempat awam.

Berkaitan...

Kongsikan: