PMX: Masjid MADANI Lambang Perpaduan dan Keharmonian di Ibu Kota
Sewaktu perancangan pembinaan Masjid MADANI, rundingan telah dibuat dengan pihak kuil dan semua pihak terlibat bagi memastikan penyelesaian dicapai secara harmoni serta berpandukan undang-undang yang ditetapkan
NEGARA


27 Mac 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kewujudan institusi masjid bukan sekadar pusat ibadah, tetapi memainkan peranan penting dalam menyatukan ummah serta menyemai keharmonian dalam masyarakat majmuk. Berucap dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI hari ini, beliau menekankan kepentingan masjid sebagai pusat komuniti yang inklusif.
Menurut Perdana Menteri, masjid yang bakal dibina di kawasan strategik berhampiran Masjid India ini akan menyediakan pelbagai kemudahan bagi manfaat masyarakat bandar. Selain sebagai tempat solat, masjid ini akan dilengkapi perpustakaan, dewan persidangan, serta ruang seni dan budaya yang membolehkan masyarakat bukan Islam mengenali Islam dengan lebih dekat.
“Kawasan ini adalah tumpuan ekonomi ribuan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Kehadiran masjid ini nanti akan memberi ruang lebih selesa kepada jemaah, selain menjadi pusat aktiviti sosial dan keilmuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan menjaga keharmonian antara kaum dan agama dalam setiap projek pembangunan. Sewaktu perancangan pembinaan Masjid MADANI, rundingan telah dibuat dengan pihak kuil dan semua pihak terlibat bagi memastikan penyelesaian dicapai secara harmoni serta berpandukan undang-undang yang ditetapkan.
“Dalam keghairahan kita mengejar pembangunan, kita perlu terus memelihara perpaduan dan mensyukuri nikmat yang diberikan Allah SWT. Masjid ini nanti akan menjadi manifestasi penting dalam menyantuni keperluan masyarakat bandar,” tambahnya.