PRK Ayer Kuning : Muhaimin dinasihati berhenti mengajar di Surau dan Mesjid

Nasihat tersebut selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Perak yang mencadangkan Abdul Muhaimin tidak lagi terlibat dalam sebarang aktiviti mengajar atau memberi syarahan di rumah ibadat sepanjang tempoh pilihan raya.

POLITIKNEGARA

Rahman Talib

4/16/20251 min read

Yang Dipertua Pas Tapah, Abdul Muhaimin Malek dinasihatkan agar menghentikan sementara aktiviti kuliah dan ceramah di masjid serta surau di seluruh negeri Perak.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengurus Kempen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Misbahul Munir Masduki, dalam sidang media harian PN yang diadakan hari ini.

Menurut Misbahul Munir yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, nasihat tersebut selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Perak yang mencadangkan Abdul Muhaimin tidak lagi terlibat dalam sebarang aktiviti mengajar atau memberi syarahan di rumah ibadat sepanjang tempoh pilihan raya.

“Pihak Jabatan Mufti telah menghubungi beliau dan menasihatkan agar tidak lagi memberi kuliah atau ceramah di masjid dan surau memandangkan beliau kini merupakan calon PRK DUN Ayer Kuning,” katanya.

Tambah beliau, pihak jabatan juga difahamkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung larangan tersebut, yang melibatkan semua calon politik daripada mana-mana gabungan atau parti yang bertanding.

Larangan ini berasaskan kepada Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013 di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, yang menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan politik, termasuk calon pilihan raya, tidak dibenarkan mengajar atau bersyarah di masjid dan surau walaupun memiliki tauliah.

Antara individu yang termasuk dalam larangan tersebut ialah ahli politik sedia ada, bekas wakil rakyat yang masih aktif dalam politik serta mana-mana calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya.

Misbahul Munir turut menyatakan beliau tidak pasti sama ada terdapat peruntukan yang mewajibkan pemegang tauliah melepaskan kelayakan tersebut sekiranya menyertai pilihan raya atau memegang jawatan politik.

Menurutnya, sistem tauliah telah diperbaharui dan kini memerlukan pemegangnya untuk memperbaharui kelayakan mengikut tempoh masa tertentu.

“Kalau peraturan itu benar-benar dikuatkuasakan, kenapa tauliah Abdul Muhaimin tidak ditarik balik? Tiada isu sebenarnya, kerana sebelum ini tauliah diberi untuk seumur hidup atau sehingga dibatalkan. Tapi sekarang ada peraturan baharu yang perlukan pembaharuan secara berkala,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa isu pentauliahan tersebut tidak menjejaskan kempen PN di Ayer Kuning dan menegaskan Abdul Muhaimin telah mendapat kelulusan sewaktu memperbaharui tauliahnya, walaupun beliau tidak pasti bila pembaharuan itu dibuat.

Berkaitan...