Tarif AS Bukan Hukuman Kepada Negara Kerana Mendokong Palestin
Beliau menyifatkan ia sebagai isu kuasa, kepentingan ekonomi dan dominasi perdagangan global yang turut menjejaskan beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand.
EKONOMI


Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faris Ariffin menegaskan bahawa tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat bukanlah satu bentuk hukuman terhadap negara-negara yang menyokong perjuangan Palestin. Sebaliknya, beliau menyifatkan ia sebagai isu kuasa, kepentingan ekonomi dan dominasi perdagangan global yang turut menjejaskan beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Faris menegaskan bahawa Malaysia perlu kekal tegas dalam membela Palestin kerana ia bukan semata-mata isu Timur Tengah, tetapi isu sejagat yang melibatkan hak asasi manusia, kebebasan dan keadilan. Katanya, Malaysia tidak boleh tunduk kepada tekanan kuasa besar atau menggadaikan prinsip demi keuntungan sementara.
"Malaysia berpihak pada yang benar — walau yang benar itu lemah. Kita lawan yang zalim — walau mereka kuat," tegas beliau, sambil menyeru kepimpinan negara agar tidak gentar dengan ugutan ekonomi. Beliau menekankan bahawa sejarah akan menilai keberanian para pemimpin dalam mempertahankan prinsip dan maruah negara.
Faris turut mengangkat contoh negara seperti Iran yang bertahan selama lebih 40 tahun meskipun dikenakan sekatan ekonomi berat, namun tetap bangkit sebagai kuasa dalam bidang teknologi dan industri. Baginya, Malaysia juga mampu mencapai kejayaan yang sama asalkan yakin kepada diri dan tidak mengorbankan maruah demi keselesaan jangka pendek.
Dalam kenyataan itu, Faris mengingatkan bahawa jika Malaysia memilih untuk tunduk kepada tekanan kuasa besar, ia bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap rakyat Palestin, tetapi juga terhadap prinsip perjuangan negara sendiri. “Biar tubuh dibelenggu, roh ini bebas. Biar dipulau dunia, kita disambut langit,” katanya.
Beliau menutup kenyataan tersebut dengan seruan solidariti yang jelas: Malaysia bersama Palestin — dari sungai ke segara, hingga ke akhirnya.
Berkaitan...
Kongsikan: