Wan Azizah Lawat Mangsa Kebakaran Paip Gas di Putra Heights

Beliau tiba di hospital pada jam 4.46 petang dan disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Wan Azizah kemudian dibawa ke wad bagi menziarahi 28 pesakit yang masih dirawat di hospital tersebut. Beliau meluangkan kira-kira sejam untuk bertanyakan keadaan mangsa serta berinteraksi dengan ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.

NEGARA

Marina Ahmad

4/1/20251 min read

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini meluangkan masa melawat mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya. Lawatan itu dilakukan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, di mana sebahagian besar mangsa menerima rawatan.

Beliau tiba di hospital pada jam 4.46 petang dan disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Wan Azizah kemudian dibawa ke wad bagi menziarahi 28 pesakit yang masih dirawat di hospital tersebut. Beliau meluangkan kira-kira sejam untuk bertanyakan keadaan mangsa serta berinteraksi dengan ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.

Menurut data terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 28 orang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; 24 orang di Hospital Cyberjaya; 13 orang di Hospital Putrajaya; dan dua orang di Hospital Ampang.

Selain itu, seramai 37 mangsa sedang menerima rawatan di hospital swasta, termasuk 22 orang di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), lapan orang di Subang Medical Centre, lima orang di Hospital Avisena, dan seorang di Hospital Thomson.

Setakat ini, seramai 41 mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan. Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian, manakala usaha pemantauan terhadap mangsa yang cedera terus dijalankan bagi memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya.

Berkaitan...